Monday, May 7, 2012

Rasulullah saw Bergusti



Rukanah satu nama yang amat terkenal di Kota Mekah sebagai seorang yang kuat dan bertubuh sasa. Hampir tidak ada seorang pun yang tidak mengenalinya, seorang yang perkasa dan jarang ada orang yang berani menentangnya. Rukanah adalah seorang jaguh gusti yang ulung. Oleh kerana itu beliau berasa bangga dengan kekuatannya, malah beliau berani mencari lawannya. Nabi Muhammad s.a.w. mengetahui akan kemashuran Rukanah itu. Kekuatan dan keangkuhannya sering diperkatakan orang ramai. Terlintas dalam fikiran Nabi jika Rukanah ini dapat diajak memeluk Islam, beliau boleh mendatangkan kesan kepada usaha dakwah Rasulullah s.a.w. Pada suatu ketika datanglah kesempatan Nabi untuk berdakwah dengan baik kepada Rukanah dan Baginda berharap berhasil apa yang terlintas difikirannya itu. Waktu itu Rukanah berada di Syi’b (jalan dekat bukit Mekah). Nabi bertemu dengannya dan mengajak beliau beradu kekuatan sebagai satu jalan mendakwahkan Rukanah. “Wahai Rukanah!, belumkah engkau bertakwa kepada Allah dan menerima agama yang aku sampaikan?” demikian Nabi s.a.w. berkata kepadanya. “Muhammad, apakah buktinya tanda di atas kebenaran agama engkau?” jawab Rukanah. “Bagaimana jika aku dapat mengalahkan engkau dalam bergusti, adakah engkau akan beriman kepada Allah dan RasulNya?” bertanya Nabi s.a.w. Baiklah wahai Muhammad.” Rukanah menyambut pelawaan. “Bersiaplah engkau,” perintah Nabi. Rukanah pun menyiapkan diri dan berasa yakin akan dapat mengalahkan Rasulullah s.a.w. Ketegapan tubuh badannya boleh membanting Muhammad dalam waktu singkat sahaja dan beliau menganggap tentangan Muhammad adalah olok-olok dan main-main sahaja. Setahunya Nabi Muhammad hanya berdakwah sepanjang hari, tidak ada berlatih tenaga untuk menghadapinya. Dalam keadaan kesombongan sebagai jaguh gusti, Rukanah bersiap sedia dalam kebiasaan beliau bergusti. Nabi s.a.w. pun segera mendekatinya dan mengambil tempat dan menunggu kesempatan untuk menghempas dan mengalahkan lawannya. Nabi dapat memegang badan Rukanah dan dengan cepat membantingnya. Rukanah menjadi terkejut dan amat hairan kenapa Muhammad berhasil mengalahkannya sedangkan beliau mengira akan dengan mudah dapat menjatuhkan Muhammad. Sesungguhnya beliau berasa tidak berpuas hati dan meminta diulang kembali beradu tenaga. Nabi s.a.w. dengan senang hati menyanggupinya. Sekali lagi Baginda dapat membanting Rukanah dan mengalahkannya. Manakala Rukanah bertambah kehairanan seolah-olah beliau tidak mempunyai tenaga bertahan seperti yang sudah-sudah beliau beradu tenaga. Diulanginya lagi dan untuk ketiga kalinya juga Rukanah tidak Berjaya dan mengakui kekalahannya. “Sesungguhnya hairan aku dengan keadaan engkau, Muhammad!” demikian katanya kepada Nabi selepas beradu itu. Selain Rukanah, Nabi s.a.w. juga telah Berjaya menentang seorang jaguh iaitu Abu Aswad Al-Jumahy yang masyhur dengan keistimewaannya sendiri. Pernah beliau tegak di atas sekeping kulit lembu dan menyuruh 10 orang cuba menarik kulit itu dari tapak kakinya. Tetapi tidak berhasil ditarik keluar dan beliau tegak berdiri bagaikan batu besar, malahan kulit itu pula yang koyak dan terpisah kerana tarikan tersebut. Nabi telah mengajaknya berlawan sebagai satu jalan dakwah kepadanya memeluk Islam. “Jika engkau dapat menjatuhkan aku, akan akan beriman kepada engkau,” demikian kata Abu Aswad kepada Nabi. Beliau sendiri yang memberikan syarat, berlainan Rukanah yang diajak Nabi untuk beriman jika kalah. Cabaran Aswad itu diterima oleh Nabi s.a.w. Nabi Berjaya menjatuhkan Aswad sehingga beliau mengalami kekalahan yang memalukan. Walaupun begitu beliau telah tidak menepati janjinya, beliau tidak jadi beriman seperti yang diperkatakan sebelum itu. Betapa juga keadaannya, hakikatnya Nabi s.a.w. telah Berjaya menundukkan jaguh-jaguh gusti yang terkenal gagah perkasa di Mekah. Sesungguhnya tenaga luar biasa Nabi itu berasal dari iman yang kuat kepada Allah. Baginda telah melakukan dakwah kepada orang ramai menurut kemampuan dan keadaan mereka masing-masing. Jaguh-jaguh gusti dihadapi Baginda bukan seperti menghadapi masyarakat dan orang-orang ternama Quraisy dengan ayat-ayat Allah. Walaupun kesannya belum mencapai seperti pengharapan Rasulullah, tetapi keberanian dan ketabahan Nabi s.a.w. menentang orang kuat Mekah menjadi perhatian umum akhirnya. Aswad yang tidak menepati janji itu bukan sahaja kalah tetapi kemudiannya berdusta telah menjatuhkan maruahnya sendiri dan Nabi s.a.w. Berjaya meningkatkan dakwahnya.

Friday, December 23, 2011

Memperingati Peperangan Badar Kubra



بسم الله والحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله ومن والاه.. وبعد
Setiap kali datangnya Ramadhan para pejuang Islam tidak akan lupa peristiwa kemenangan tentera Islam dalam peperangan Badar yang menjadi hari ‘al-furqan’, hari pemisah antara kebenaran dan kebatilan dan hari penentuan antara kelangsungan Islam wujud di dunia ini atau lenyap buat selama-lamanya. Pada hari ini tentera Islam yang sedikit, datang bukan berniat untuk berperang pada asalnya telah mengalahkan tentera kuffar yang kuat, yang datang dengan penuh perasaan takbur dan bangga diri. Inilah kehendak Allah untuk Islam.
Dalam memperingati peristiwa agung ini marilah kita meneliti sejenak realiti kita dan umat Islam hari ini. Marilah kita bertanya kepada diri kita, mampukah kita memiliki ciri-ciri kemenangan yang ada kepada generasi Badar ini supaya Allah melihat kita dengan pandangan rahmatNya dan memberikan kemenangan kepada kita.
Daripada peristiwa Badar dapat disimpulkan beberapa ciri unggul generasi tersebut:

1. Sentiasa bersedia dan proaktif.
Sebahagian orang-orang beriman mengambil ringan apabila Nabi s.a.w. mengajak umat Islam keluar: (هذه عير قريش فيها أموالهم، فاخرجوا إليها لعل الله ينفلكموها) “Dalam rombongan Quraisy ini terdapat harta-harta kita, marilah kita menemui mereka mudah-mudahan Allah mengembalikannya kepada kita.”
Sebahagian orang beriman menyahut dan sebahagian yang lain merasai keberatan kerana mereka tidak menyangka akan berlaku peperangan. Sebaliknya rombongan tersebut terlepas dan umat Islam berhadapan dengan tentera Quraisy yang datang untuk menghancurkan Islam, lalu Nabi s.a.w. bertanyakan pendapat sahabat-sahabatnya.
Maka Saad bin Muaz pimpinan kaum Aus bangun dan berkata:
لقد آمنّا بك وصدقناك، وشهدنا أن ما جئت به هو الحق، وأعطيناك على ذلك عهودنا ومواثيقنا على السمع والطاعة لك، فامض يا رسول الله لِما أردت، فنحن معك، فوالذي بعثك بالحق لو استعرضت بنا البحر فخضته لخضناه معك، ما تخلف منا واحد، وما نكره أن تلقى بنا عدونا غدًا، إنا لصُبر في الحرب، صُدق عند اللقاء، لعل الله يريك منا ما تقر به عينك، فسِرْ على بركة الله
“Kami telah percaya dengan ajaranmu, kami telah membenarkan janji-janji kami dan kami bersaksi bahawa segala ajaran al-Quran yang kamu bawa adalah benar. Berdasarkan keyakinan dan penyaksian ini kami serahkan janji dan ikatan kesetiaan kami untuk dengar dan mentaati segala perintahmu. Teruskanlah ya Rasulullah apa sahaja yang kamu mahu, maka kami bersamamu. Demi Allah yang mengutuskan engkau dengan kebenaran jika di hadapan kami adalah lautan dan engkau mengharunginya kami akan mengharunginya bersama kamu dan tidak seorang pun daripada kami yang akan meninggalkanmu. Kami tidak pernah merasa benci jika kamu ketemukan kami dengan musuh esok hari. Sesungguhnya kami orang yang bersabar ketika berperang dan setia kepadamu ketika bertemu musuh. Mudah-mudahan Allah memperlihatkan kepada kamu apa yang menyukakan kamu pada diri kami. Maka majulah dengan keberkatan Allah.”
Sekiranya para sahabat yang tidak berangkat bersama mengetahui bahawa mereka akan berperang, Allah akan membuka pintu langit supaya malaikat dapat turun sama berperang dan diangkat ruh para syuhada ke langit tinggi nescaya mereka tidak akan merasa keberatan.
Mereka yang tidak berangkat pada hari Badar amat merasai kerugiannya, mereka terlepas daripada kemuliaan pangkat “ahli Badar” yang telah diampunkan segala dosa-dosa mereka. Malah mereka amat merasai kepedihan kerugian tidak dapat bersama-sama menyertai peperangan Badar. Bagi mereka kesilapan itu tidak akan dimaafkan kecuali mereka benar-benar berusaha mendapat pahala syahid dengan sebenarnya dalam peperangan pertama selepas itu.
Di kalangan mereka Anas bin al-Nadar telah berkata: “Sekiranya Allah ketemukan aku dengan peperangan bersama Rasulullah s.a.w. Allah akan melihat apa yang akan ku lakukan”. Beliau telah berperang dalam peperangan Uhud dan dilihat apa yang dilakukannya sehingga beliau r.a. menemui syahid. Kepadanya dan para sahabat yang lain Allah berfirman:
(مِنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللهَ عَلَيْهِ فَمِنْهُم مَّن قَضَى نَحْبَهُ وَمِنْهُم مَّن يَنتَظِرُ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلاً).

2. Kelemahan material tidak menghalang orang beriman untuk mencapai kemuliaan.
Umat Islam yang keluar untuk merampas harta daripada rombongan Quraisy tidak membuat persedian untuk berperang. Jumlah mereka tidak lebih 313 orang, hanya 70 ekor unta yang ditunggang secara bergilir dan dua orang tentera berkuda manakala selebihnya berjalan kaki. Mereka hanyalah seumpama dalam doa nabi s.a.w. اللهم إنهم حفاة فاحملهم، عالة فأغنهم، جياع فأطعمهم. .
“Ya Allah mereka ini berjalan kaki, maka bawalah mereka, miskin maka cukupkanlah mereka dan lapar, berilah makanan kepada mereka…”
Kekurangan ini tidak menghalang orang beriman membuat pilihan yang berani dan pilihan seorang yang mulia. Di hadapan mereka hanya ada dua pilihan sama ada lari meninggalkan medan pertempuran dan melenyapkan Islam selama-lamanya atau menghadapinya dengan penuh kesabaran, keberanian dan penyerahan bulat kepada Allah S.W.T.
Mereka memilih untuk bertemu musuh dan menyerahkan kepada Allah apa sahaja keputusanNya. Allah telah memutuskan kehendakNya.

3. Tarbiah dengan kehendak dan takdir Allah.
Orang-orang beriman pada awalnya bukan keluar untuk berperang tetapi Allah telah memilih sesuatu yang lebih baik untuk mereka. Orang-orang beriman hanya ingin mengambil kembali harta mereka yang dirampas oleh musyrikin Quraisy, tetapi Allah mahukan berlaku peperangan supaya berlaku kemenangan besar buat pertama kali ke atas pasukan musyrikin Quraisy. Supaya tercatat dalam sejarah muslimin, detik paling bersejarah dalam sejarah perjuangan mereka. Peristiwa ini juga merupakan didikan Allah supaya orang beriman sentiasa sedar bahawa setiap yang berlaku itu berlaku di hadapan Allah S.W.T. dan berasaskan ketentuan dan kehendak Allah.

4. Kepimpinan yang mengutamakan syura yang adil.
Rasulullah s.a.w. merupakan manusia yang paling banyak bermesyuarat dengan sahabat-sahabatnya walaupun baginda dipandu oleh wahyu. Melalui sikap ini baginda telah mendidik para sahabatnya agar meyakini bahawa mereka adalah pembawa risalah dan sama-sama bertanggungjawab untuk mempertahankannya. Melalui syura ini juga para sahabat difahamkan perbezaan antara kemaksuman Nabi s.a.w. dalam menyampai risalah dengan keadaan peperangan yang mempunyai pelbagai taktik.
Pandangan al-Hubbab bin al-Munzir supaya memindahkan tempat tentera muslimin lebih bertepatan dengan strategi peperangan begitu juga cadangan Saad bin Muaz supaya dibina sebuah tempat untuk Rasulullah s.a.w. duduk bagi memberi arahan perang melaluinya. Nabi s.a.w. menerima kedua-dua cadangan tersebut kerana ternyata kebenaran meraka. Nabi s.a.w juga bergilir-gilir menunggang unta dengan dua orang sahabat Nabi s.a.w. apabila sahabat-sahabatnya mencadangkan agar Nabi s.a.w. menaiki unta tersebut Nabi bersabda: “ Kamu berdua tidaklah terlebih gagah daripadaku dan aku juga bukan orang yang tidak memerlukan pahala sebagaimana kamu berdua”.

5. Memohon bantuan Allah dengan berdoa.
Imam Ahmad meriwayatkan melalui sanadnya daripada Ali bin Abu Thalib katanya: Aku melihat tidak ada seorang pun pada malam itu kecuali tertidur melainkan Rasulullah s.a.w. duduk di bawah sepohon pokok bersolat dan menangis, itu adalah malam peperangan Badar.. baginda banyak menyebut; ya hayyu ya Qayyum dan mengulang-ulangnya dalam sujudnya.. dan baginda mengangkat tangannya dan menyeru Tuhannya dengan doanya: “ Ya Allah, jika Engkau tewaskan pasukan ini, tidak ada sesiapa pun yang akan menyembahMu di muka bumi ini, ya Allah laksanakan kepadaku ap yang kau janjikan, ya Allah berikan kemenangan….” Baginda mengangkat tangannya ke langit sehingga terjatuh selendangnya daripada bahunya. Sehingga Abu Bakar berkata kepadanya kerana kasihankan Rasulullah s.a.w. “ Wahai Rasulullah sudahlah bermunajat kepada tuhanmu.. Dia akan melaksanakan apa yang dijanjikan kepadamu”.
Rasulullah s.a.w. berdoa bukan sekadar kerana kasihkan sahabatnya tetapi kerana mereka adalah pembawa risalah. Besok adalah hari penentuan takutkan kekalahan membawa hilangnya petunjuk kejalan kebenaran.
(إِذْ تَسْتَغِيثُونَ رَبَّكُمْ فَاسْتَجَابَ لَكُمْ أَنِّي مُمِدُّكُمْ بِأَلْفٍ مِّنَ الْمَلائِكَةِ مُرْدِفِينَ) الأنفال :9)،
Lalu Allah mengutuskan malaikat bergilir-gilir bersama-sama tentera Badar.

6. Rindukan balasan syurga.
Apabila Nabi s.a.w. membakar semangat para sahabat dengan sabdanya:
(والذي نفسي بيده، لا يقاتلهم اليوم رجل، فيقتل صابرًا محتسبًا مقبلا غير مدبر؛ إلا أدخله الله الجنة)
“Demi diriku dalam genggamanNya, tidak ada seorang lelaki yang memerangi mereka hari ini, lalu beliau berperang dengan penuh kesabaran dan mengharapkan Allah mara dan tidak mundur melainkan Allah akan memasukkannya ke syurga”.
Seorang sahabat bernama Umair bin al-Humam mendengarnya dan dia sedang memakan sebiji tamar telah berkata: “Bakh, bakh, apakah antaraku dan syurga hanya mereka membunuhku? Sekiranya aku hidup untuk memakan tamar ini ia adalah kehidupan yang terlalu lama, lalu beliau melontar tamarnya dan berperang sehingga syahid r.a.”

7. Persaudaraan aqidah.
Ahli Badar telah memerdekakan wala’ mereka hanya kepada Allah, mereka telah mendahului persaudaraan atas asas aqidah mengatasi selainnya. Mereka meyakini bahawa kekuatan saf dan kemenangannya adalah berasaskan kesatuan aqidah. Mus`ab bin Umair telah melalui tempat sahabatnya yang menawan saudaranya yang musyrik Abu Aziz bin Umar lalu Mus`ab berkata: “ Pegang kuat-kuat tangannya kerana ibunya seorang yang berharta, mudah-mudahan kamu mendapat tebusan”. Lalu saudaranya itu berpaling kepadanya dan berkata: “ \Wahai saudaraku; apakah ini pesanan awak terhadapku” . Jawabnya: “Aku ada saudara lain bukan kamu”

8. Berhati-hati terhadap keinginan dunia.
Allah tidak menamakan surah yang mengkisahkan mengenai Badar dengan surah Badar tetapi dinamakan dengan surah al-Anfal sebagaimana Allah menamakan surah al-Ahzab dan al-Fath. Perkara ini perlu menjadi renungan dan ingatan sekelian muslimin kerana dalam surah ini terdapat kritikan Allah kepada orang-orang yang beriman terhadap perselisihan mereke mengenai isu al-Anfal, ia adalah teguran yang lembut dan tegas. Surah ini dinamakan surah al-Anfal supaya mereka merenungnya dalam-dalam dan mengingati teguran Allah buat selama-lamanya.
Walaupun perselisihan sahabat terhadap perkara yang belum ada nas syarak mengenainya dan ramai para sahabat melepaskan hak-hak mereka setelah diizinkan Allah sedangkan sebelumnya mereka amat menginginkannya.
Perselisihan mengenai dunia tidak akan berakhir dengan hanya menurunkan syariat berkaitan dengannya tetapi perselisihan ini hanya boleh dirawat dengan merawat hati manusia dan menyatukan mereka di atas asas taqwa, tawakkal kepada Allah, ukhuwwah dan kasih sayang kerana Allah.

Dr. Mohammed Badi’ Abd Majid Saamy,
Mursyid Am Ikhwan Muslimin
Petikan daripada Risalah Ikhwan (dengan sedikit olahan)